Resepi

Tuesday 28 August 2012

Patriotik : Malaysia Tanah Airku

Assalamualaikum. Sempena bulan kemerdekaan ini saya hendak berkongsi dengan kawan-kawan apa makna disebalik simbol dan warna yang ada pada Jalur Gemilang dan Jata negara kita. Sekadar mengingatkan sesama kita biar pun kita sudah pun ketahuinya.

Jata

Jata Negara Malaysia merupakan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Reka bentuk Jata Negara telah diusahakan oleh Jabatan Ukur dengan menggunakan enam warna.
Jata Negara menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan. Bintang bersama-sama anak bulan pula sebagai lambang Agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris pula sebagai lambang Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Bahagian sebelah kiri perisai menandakan Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka mewakili Melaka. Kedua-dua buah negeri tersebut adalah sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat suatu ketika dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu; warna-warna hitam dan putih adalah warna Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam, putih dan kuning warna Perak; merah, hitam dan kuning adalah warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini adalah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang asal. Dua ekor harimau juga merupakan lambang bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia. Cogan “Bersekutu Bertambah Mutu” ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Jalur Gemilang 



Terdapat 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Jalur-jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).
Warna merah pada jalur membawa makna gagah berani dan warna putih pula membawa makna suci murni. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna Diraja yang melambangkan Raja-Raja Melayu. Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan setiakawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan Negara-negara Komanwel.


p/s: sekadar ingatan diri sendiri dan rakan-rakan..=)

No comments:

Post a Comment