Resepi

Wednesday 29 August 2012

Cendekiawan Islam : Ibrahim Sa'id

Di muzium Oxford terdapat sebuah kompas yang direka oleh dua orang adik beradik bernama Ahmad bin Ibrahim dan Mahmud bin Ibrahim anak kepada seorang ahli pelayaran dari Isfahan bernama Ibrahim Sa'id. Beliau ialah seorang ahli pelayaran yang telah banyak membantu ahli-ahli pelayaran Eropah mencari jalan ke Timur Jauh dengan melalui Tanjung Pengharapan.

Selain sebagai seorang ahli pelayaran, Ibrahim Sa'id juga merupakan seorang pembuat kompas yang masyhur pada waktu itu. Kemasyhuran ciptaan beliau bukan setakat boleh memandu arah di dalam pelayaran di tengah lautan malah boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat dan menentukan waktu sembahyang.

Salah satu ciptaannya yang dianggap oleh orang-orang Eropah mempunyai daya teknik yang tersendiri disamping mempunyai nilai seni yang tinggi kini masih tersimpan di muzium Arquelogico di Madrid. Hasil ciptaan Ibrahim Sa'id itu direka antara tahun 1068 - 1067 M. Hingga ke akhir abad ke 17 orang-orang Eropah masih menggunakan kompas-kompas hasil rekaan saintis-saintis Islam. Disamping digunakan untuk tujuan pelayaran, mereka berminat memilikinya sebagai hasil seni yang kreatif.


Cendekiawan Islam : Al-Zarqali (Arzachel)

Assalamulaaikum wbt.. disini sy hendak berkongsi sedikit tentang cedekiawan islam yang mungkin ada diantara kita yg tak tahu. Sy percaya mesti ada diantara kita yg tak mengenali insan yg bernama Al-Zarkali ini, jd sy akn ceritakan siapa beliau dan apa sumbangan beliau.



(1029 -1087 M)

AL ZARQALI ini telah menulis dan menterjemahkan berbagai-bagai teori ilmu bintang karangan cerdik pandai dizaman Yunani. Disamping itu juga beliau bekerja sebagai tukang membuat alat-alat daripada besi dan aluminium. Maka dalam proses pengkajian dan amali inilah Al Zarqali telah menemukan satu alat baru untuk mengukur jarak jauh bintang-bintang dari bumi. Alat itu dinamakan 'safiha' yang kira-kira sama fungsinya dengan 'astrolabe' orang-orang Eropah yang memperbaharui kemudiannya.

Seorang lagi ahli bintang yang lahir dalam abad ke 12 ialah Al-Bitruji yang dikalangan orang-orang Barat disebut Alpetragius telah mencipta suatu alat yang boleh mengukur perjalanan bintang-bintang. Bukunya mengenai ilmu bintang ini telah disalin ke dalam bahasa Yahudi oleh Musa Ibn Tibbon, dan kemudiannya dalam abad ke 16 telah disalin ke dalam bahasa Latin oleh Kalonymos ben David.

Teori-teori mengenai ilmu bintang Al Zarkali kemudiannya telah disalin oleh orang-orang Eropah terutamanya Montpellier dan Copernicus. Raja Alfonso dari Castille telah megarahkan para saintisnya menyalin buku Al Zarkali ini ke dalam dua edisi, sebuah di dalam bahasa Rumawi dan sebuah ke dalam bahasa Sepanyol. Dan pada abad ke 15 kemudiannya Regiomontanus pula telah menerbitkan karangan-karangan Al Zarqali terutamanya yang mengenai 'safiha'.



Tuesday 28 August 2012

Patriotik : Malaysia Tanah Airku

Assalamualaikum. Sempena bulan kemerdekaan ini saya hendak berkongsi dengan kawan-kawan apa makna disebalik simbol dan warna yang ada pada Jalur Gemilang dan Jata negara kita. Sekadar mengingatkan sesama kita biar pun kita sudah pun ketahuinya.

Jata

Jata Negara Malaysia merupakan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Reka bentuk Jata Negara telah diusahakan oleh Jabatan Ukur dengan menggunakan enam warna.
Jata Negara menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan. Bintang bersama-sama anak bulan pula sebagai lambang Agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris pula sebagai lambang Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Bahagian sebelah kiri perisai menandakan Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka mewakili Melaka. Kedua-dua buah negeri tersebut adalah sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat suatu ketika dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu; warna-warna hitam dan putih adalah warna Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam, putih dan kuning warna Perak; merah, hitam dan kuning adalah warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini adalah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang asal. Dua ekor harimau juga merupakan lambang bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia. Cogan “Bersekutu Bertambah Mutu” ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Jalur Gemilang 



Terdapat 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Jalur-jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).
Warna merah pada jalur membawa makna gagah berani dan warna putih pula membawa makna suci murni. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna Diraja yang melambangkan Raja-Raja Melayu. Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan setiakawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan Negara-negara Komanwel.


p/s: sekadar ingatan diri sendiri dan rakan-rakan..=)

Monday 27 August 2012

Kisah Nabi : NABI MUHAMMAD s.a.w DENGAN PENGEMIS BUTA


“Wahai saudaraku! Jangan engkau dekati Muhammad itu. Dia orang gila. Dia pembohong. Dia tukang sihir. Jika engkau mendekatinya, engkau akan dipengaruhinya dan engkau akan menjadi seperti dia,” kata seorang pengemis buta Yahudi berulang-ulang kali di satu sudut pasar di Madinah pada setiap pagi sambil tangannya menadah meminta belas orang yang lalu-lalang.
Orang yang lalu-lalang di pasar itu ada yang menghulurkan sedekah kerana kasihan malah ada juga yang tidak mempedulikannya langsung.
Pada setiap pagi, kata-kata menghina Rasulullah SAW itu tidak lekang daripada mulutnya seolah-olah mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan terpedaya dengan ajaran Rasulullah SAW. Seperti biasa juga, Rasulullah SAW ke pasar Madinah. Apabila baginda sampai, baginda terus mendapatkan pengemis buta Yahudi itu lalu menyuapkan makanan ke mulutnya dengan lembut dan bersopan tanpa berkata apa-apa.
Pengemis buta Yahudi yang tidak pernah bertanya siapakah yang menyuapkan itu begitu berselera sekali apabila ada orang yang baik hati memberi dan menyuapkan makanan ke mulutnya.
Perbuatan baginda itu dilakukannya setiap hari sehinggalah baginda wafat. Sejak kewafatan baginda, tidak ada sesiapa yang sudi menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu setiap pagi.
Pada satu pagi, Saidina Abu Bakar ra pergi ke rumah anaknya, Siti Aisyah yang juga merupakan isteri Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu kepadanya.
“Wahai anakku Aisyah, apakah kebiasaan yang Muhammad lakukan yang aku tidak lakukan?”, tanya Saidina Abu Bakar ra sebaik duduk di dalam rumah Aisyah.
“Ayahandaku, boleh dikatakan apa sahaja yang Rasulullah lakukan, ayahanda telah lakukan kecuali satu,” beritahu Aisyah sambil melayan ayahandanya dengan hidangan yang tersedia.
“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”
“Setiap pagi Rasulullah akan membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi di satu sudut di pasar Madinah dan menyuapkan makanan ke mulutnya. Sejak pemergian Rasulullah, sudah tentu tidak ada sesiapa lagi yang menyuapkan makanan kepada pengemis itu,” beritahu Aisyah kepada ayahandanya seolah-olah kasihan dengan nasib pengemis itu.
“Kalau begitu, ayahanda akan lakukan seperti apa yang Muhammad lakukan setiap pagi. Kamu sediakanlah makanan yang selalu dibawa oleh Muhammad untuk pengemis itu,” beritahu Saidina Abu Bakar ra kepada anaknya.
Pada keesokan harinya, Saidina Abu BAkar ra membawakan makanan yang sama seperti apa yang Rasulullah SAW bawakan untuk pengemis itu sebelum ini. Setelah puas mencari, akhirnya beliau bertemu juga dengan pengemis buta itu. Saidina Abu Bakar ra segera menghampiri dan terus menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu.
“Hei… Siapakah kamu? Berani kamu menyuapku?” Pengemis buta itu mengherdik Saidina Abu Bakar ra. Pengemis buta itu terasa lain benar perbuatan Saidina Abu Bakar ra itu seperti kebiasaan.
“Akulah orang yang selalu menyuapmu setiap pagi,” jawab Saidina Abu Bakar ra sambil memerhatikan wajah pengemis buta itu yang nampak marah.
“Bukan! Kamu bukan orang yang selalu menyuapku setiap pagi. Perbuatan orang itu terlalu lembut dan bersopan. Aku dapat merasakannya, dia terlebih dahulu akan menghaluskan makanan itu kemudian barulah menyuap ke mulutku. Tapi kali ini aku terasa sangat susah aku hendak menelannya,” balas pengemis buta itu lagi sambil menolak tangan Saidina Abu Bakar ra yang masih memegang makanan itu.
“Ya, aku mengaku. Aku bukan orang yang biasa menyuapmu setiap pagi. Aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan tempatnya,” beritahu Saidina Abu Bakar ra sambil mengesat air matanya yang sedih.
“Tetapi ke manakah perginya orang itu dan siapakah dia?”, tanya pengemis buta itu.
“Dia ialah Muhammad Rasulullah. Dia telah kembali ke rahmatullah. Sebab itulah aku yang menggantikan tempatnya,” jelas Saidina Abu Bakar ra dengan harapan pengemis itu berpuas hati.
“Dia Muhammad Rasulullah?”, kata pengemis itu dengan suara yang terkedu.
“Mengapa kamu terkejut? Dia insan yang sangat mulia,” beritahu Saidina Abu Bakar ra. Tidak semena-mena pengemis itu menangis sepuas-puasnya. Setelah agak reda, barulah dia bersuara.
“Benarkah dia Muhammad Rasulullah?”, pengemis buta itu mengulangi pertanyaannya seolah-olah tidak percaya dengan berita yang baru didengarnya itu.
“Ya benar. Kamu tidak percaya?”
“Selama ini aku menghinanya, aku memfitnahnya tetapi dia sedikit pun tidak pernah memarahiku malah dia terus juga menyuap makanan ke mulutku dengan sopan dan lembut. Sekarang aku telah kehilangannya sebelum sempat memohon ampun kepadanya,” ujar pengemis itu sambil menangis teresak-esak.
“Dia memang insan yang sangat mulia. Kamu tidak akan berjumpa dengan manusia semulia itu selepas ini kerana dia telah pun meninggalkan kita,” beritahu Saidina Abu Bakar ra.
“Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan Allah,” ujar pengemis buta itu.
Selepas peristiwa itu, pengemis itu telah memeluk Islam di hadapan Saidina Abu Bakar ra. Keperibadian Rasulullah SAW telah memikat jiwa pengemis itu untuk mengakui ke-Esaan Allah..